RCSIUCD Dublin

 

 

 

 

Isnin, 2 Julai 2018 | 10:38pm

Dr Maurice Manning (kiri) menyampaikan ijazah kepada Dr Esther Hor Shan Lin pada Majlis Graduasi Ke-18 Kolej Perubatan Pulau Pinang – Foto Danial Saad

 

130 graduan PMC diraikan

GEORGETOWN: Seramai 130 graduan Ijazah Perubatan dan Sarjana Penyelidikan Kesihatan dari Kolej Perubatan Pulau Pinang (PMC) diraikan pada Majlis Graduasi Ke-18, semalam. (nota: majlis graduasi ke-18 ini, silap diterterakan sebagai majlis ke-13 di laman layar asli. Majlis graduasi pertama diadakan pada tahun 2001. Segala kesulitan amat dikesali. )

Majlis itu disempurnakan Canselor National University of Ireland, Dr Maurice Manning, diiringi Presiden Eksekutif Royal College of Surgeon Ireland (RCSI), Kenneth Mealy dan Naib Presiden Royal College of Physicians of Ireland (RCPI), Dr Anna Clarke.

Yang turut hadir, Duta Ireland ke Malaysia, Eamon Hickey; Pengetua Kolej, University College Dublin (UCD), Professor Cecily Kelleher; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif RCSI dan UCD Kampus Malaysia, Professor Stephen Doughty.

Turut diraikan pada majlis itu adalah penerima anugerah khas, Dr Esther Hor Shan Lin, 25, yang cemerlang dalam semua bidang dan merangkul pelbagai pencapaian, termasuk mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Shan Lin berkata, beliau bangga dengan keseluruhan pencapaian yang dikecapinya itu, selain menyifatkannya sebagai pemangkin untuk lebih giat membantu masyarakat menerusi hasil pembelajarannya dalam bidang perubatan.

“Saya tidak memiliki rahsia atau resipi khusus yang digunakan sepanjang lima tahun sesi pembelajaran di PMC, namun sentiasa mencuba untuk menjadi terbaik dan memperbaiki kelemahan yang ada.

“Ketika ini, saya memberi tumpuan untuk mendapatkan tempat bagi sesi latihan perubatan, selain bercadang menjalankan penyelidikan mengenai sikap dalam kalangan penuntut perubatan.

“Dalam pada itu, saya juga akan menjadi sukarelawan di Sabah selama dua bulan, menerusi program di bawah sebuah badan amal dari United Kingdom,” katanya yang juga anak kelahiran Taiping, Perak.

Dr Maurice Manning (kiri) menyampaikan ijazah kepada Dr Munirah Mansor pada Majlis Graduasi Ke-18 Kolej Perubatan Pulau Pinang – Foto Danial Saad

Seorang lagi penerima anugerah, Dr Munirah Mansor, 25, berkata air mata, pengorbanan dan penat lelahnya sepanjang menuntut di PMC kini terbayar apabila berjaya muncul sebagai antara graduan cemerlang.

“Ini adalah hasil dedikasi serta kemampuan membahagikan masa untuk tugas, pelajaran dan keluarga dengan baik.

“Ia bertambah manis apabila saya turut menerima anugerah daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Universiti Sains Malaysia (USM) bagi kerja amal membabitkan etnik Rohingya. (nota: anugerah tersebut diterima atas sumbangan ahli-ahli Persatuan Khidmat Masyarakat institusi dalam program Pembaca Rohingya)

“Saya juga berminat untuk meneruskan pengajian dalam bidang pediatrik pada masa akan datang, selain berharap akan ada lebih ramai pengamal perubatan yang berani membabitkan diri dalam kerja amal supaya dapat mengenali penyakit yang tiada di negara ini,” katanya.

Berita ini dipaparkan di laman layar Berita Harian Online: https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2018/07/444268/130-graduan-pmc-diraikan